London: Hasrat seorang pemandu teksi untuk mendapatkan bayaran tambang £140 (RM779) daripada penumpangnya tidak kesampaian apabila mendapati pelanggan itu sebenarnya patung.
Kejadian itu berlaku apabila pemandu teksi yang dikenali sebagai Stutter mengambil tiga penumpang lelaki di stesen kereta api Brighton pada jam 2 pagi baru-baru ini.
Ketiga-tiga lelaki itu dengan salah seorang daripada mereka dilihat sedang tidur meminta pemandu teksi berkenaan menghantar mereka ke London.
Apabila sampai di London pemandu teksi berkenaan menurunkan penumpang pertama yang memberitahu rakannya akan membayar tambang.
Selepas menurunkan penumpang kedua, lelaki itu pula memberitahu bahawa rakannya yang sedang tidur akan menjelaskan tambang berkenaan.
Lelaki itu kemudiannya memberikan satu alamat dan meminta pemandu teksi berkenaan mengejutkan rakannya apabila sampai ke lokasi.
Sejurus tiba di alamat yang diberi, pemandu teksi itu mengejutkan ‘lelaki’ berkenaan, tetapi terkejut apabila mendapati penumpangnya itu sebenarnya patung.
Pengurus syarikat teksi CityCabs, Andy Cheesman berkata, kejadian itu salah satu peristiwa lucu yang berlaku terhadap pemandu mereka.
“Walaupun pemandu itu diperdaya, tetapi dia tetap menganggapnya sebagai satu perkara yang melucukan.
“Dia juga menjadi bahan ketawa pemandu teksi yang lain apabila pulang semula ke pejabat,” katanya. - Agensi
0 comments:
Post a Comment