Cirebon: Kerana tidak tahan dileteri, seorang lelaki, Supranadi, 32, menikam isterinya, Sri Meati, 39, sebelum dia menikam dirinya untuk membunuh diri.
Pasangan itu bagaimanapun berjaya diselamatkan selepas mereka dihantar ke hospital berhampiran oleh polis dan jiran.
Ketika disoal polis, Supranadi mengaku menikam isterinya kerana terlalu marah dengan tindakan Sri Meati yang setiap hari memaksa dia mencuci, memasak dan membersihkan rumah.
Kemarahannya semakin memuncak apabila Sri Meati memberitahu jiran sekeliling rumah bahawa dia akan berkahwin satu lagi.
“Saya tidak diperlakukan seperti manusia. Lelaki mana yang tidak marah apabila setiap hari dimarahi dan diherdik.
“Saya memberitahu dia, kalau seperti ini, lebih baik kita sama-sama mati,” katanya.
Supranadi berkata, dia menikam perut dan dada wanita yang menjadi isterinya sejak empat tahun lalu sebelum menikam dirinya tiga kali.
Sementara itu, Sri Meati berkata, dia bertengkar dengan suaminya sebelum kejadian kerana marah apabila Supranadi enggan menjaga anaknya dari suami dulu yang cedera dalam satu kemalangan.
“Saya meminta dia jaga anak saya. Dia enggan. Sebaliknya, lepas makan, dia tidur,” kata wanita itu.
Dalam pada itu, jiran yang mendengar jeritan Sri Meati selepas ditikam, memukul Supranadi dan mengheretnya keluar dari rumah itu sebelum dia diselamatkan polis. - Agensi
0 comments:
Post a Comment