Ketahui Punca Sebenar Kematian Akibat Denggi, Mitos Jus Betik dan Sup Ketam



[Mstar] PETALING JAYA: Kebelakangan ini, negara digemparkan dengan peningkatan kes demam denggi sehingga mendorong masyarakat mencuba pelbagai cara dan petua untuk merawat penyakit itu termasuk kaedah tradisional.

Tidak dinafikan, setiap kali ada yang menghidap demam denggi, pasti akan ada yang mengesyorkan pengambilan sup ketam dan jus daun betik sebagai rawatan alternatif bagi membantu meningkatkan platelet dalam darah.

Namun, Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Prof. Dr Adeeba Kamarulzaman nyata mempunyai pandangan berbeza, malah beliau menjelaskan punca kematian akibat demam denggi bukan disebabkan platelet darah rendah dan dengan itu masyarakat tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada jus daun betik sebagai kaedah alternatif.

"Kematian pesakit denggi sebenarnya berpunca daripada kebocoran plasma akibat tiada tekanan dalam salur darah sehingga menyebabkan tekanan darah rendah dan tidak sampai ke jantung.

"Itu yang sebenarnya tidak diketahui oleh doktor dan orang ramai. Banyak kematian akibat demam denggi disebabkan berlakunya kebocoran plasma dan bukannya platelet darah yang rendah," katanya kepada mStar Online.




Beliau berkata demikian bagi mengulas pengambilan jus daun betik di kalangan penghidap demam denggi yang dikatakan dapat meningkatkan platelet darah.

Jelasnya, publisiti yang diberikan terhadap jus daun betik sebagai kaedah alternatif untuk meningkatkan platelet darah hanya menutupi punca sebenar kematian akibat demam denggi.

"Fokus lebih diberikan kepada jus daun betik untuk meningkatkan platelet darah yang rendah sedangkan punca kematian sebenar pesakit adalah akibat kebocoran plasma," katanya.


Jus daun betik dikatakan berupaya merawat penyakit demam denggi.


Malah, menurut beliau, kaedah alternatif itu juga akan melengah-lengahkan pesakit untuk mendapatkan rawatan di hospital yang sepatutnya dilakukan dengan segera.

"Sekiranya pesakit mendapatkan rawatan awal di hospital dan diberikan cecair intravena, risiko kematian boleh dielak," katanya.

Dr Adeeba berkata, simptom kebocoran plasma boleh disedari menerusi tanda amaran seperti sakit seluruh badan, loya, muntah, sesak nafas, gusi berdarah dan tidak bermaya.

Katanya, pesakit yang terkena jangkitan tersebut untuk kali kedua berisiko tinggi terkena demam denggi berdarah sehingga boleh membawa maut.

"Secara realitinya, demam denggi berdarah jarang berlaku disebabkan platelet darah yang rendah. Ia disebabkan simptom kejutan denggi (shock) yang bermaksud tekanan darah rendah," katanya.

Beliau berkata, kaedah paling efektif untuk mengelak demam denggi berdarah adalah menyedari tanda amaran, kejutan denggi dan pesakit diberi cecair intravena.

"Badan anda mempunyai keupayaan semula jadi untuk pulih. Platelet darah akan kembali ke paras normal secara semula jadi dalam tempoh tiga hingga empat hari selepas demam beransur baik tanpa pengambilan jus betik, sup ketam dan beberapa rawatan alternatif lain," katanya.

Dr Adeeba berpendapat, walaupun terdapat kajian ke atas jus daun betik yang dikatakan mampu merawat penyakit ini, ia hanya melibatkan sebilangan kecil pesakit dan perubahan platelet darah tidak begitu ketara.

"Kajian terlalu kecil dan saya rasakan masih kekurangan bukti saintifik untuk menyokong jus tersebut berkesan merawat penyakit demam denggi," katanya.

Tegas beliau, pesakit diingatkan untuk mendapatkan rawatan di hospital dengan segera jika terdapat tanda amaran penyakit ini.

Bagaimanapun, katanya, pengambilan jus daun betik tidak memberi kesan sampingan kepada pesakit.


Menurut Dr Adeeba, terdapat kajian terhadap vaksin yang boleh merawat penyakit tersebut baru-baru ini walaupun ia tidak mampu memulihkan pesakit sepenuhnya tetapi sekurang-kurangnya dapat melegakan penghidap penyakit itu.

"Jika ia boleh mengurangkan komplikasi, ini menunjukkan vaksin tersebut ada keberkesanannya," katanya.

Baru-baru ini, Sanofi Pasteur, syarikat multinasional yang memberi tumpuan kepada penghasilan vaksin mengumumkan vaksin denggi pertama di dunia dalam proses pengeluaran dan akan berada di pasaran pada separuh kedua 2015.

Syarikat tersebut berkata, kajian klinikal peringkat akhir kedua menunjukkan 95.5 peratus perlindungan terhadap demam denggi teruk dan pengurangan risiko kemasukan ke dalam wad sebanyak 80.3 peratus.

Kajian tersebut dijalankan meliputi lebih 31,000 peserta di 10 negara endemik di Amerika Latin dan Asia termasuk Malaysia.

Denggi adalah penyakit endemik di lebih 100 negara, mengancam hampir separuh penduduk dunia dengan seorang pesakit dimasukkan ke hospital akibat penyakit itu setiap minit. -SOFEA SUSAN ALBERT KASSIM/6/1/15

SHARE ON:

Hello guys, I'm Tien Tran, a freelance web designer and Wordpress nerd. Sed ut perspiciatis unde omnis iste natus error sit voluptatem accusantium doloremque laudantium, totam rem aperiam, eaque ipsa quae.

    Blogger Comment

0 comments:

Post a Comment