Peringatan mesra: Jangan terkejut... Berikut adalah gambar seorang wanita pada awal abad ke-20 yang baru saja diselamatkan.
Blanche Monnier dikurung selama 25 tahun di dalam sebuah bilik yang
gelap, kelaparan, berbogel, berat badan dalam 55 paun dan hanya
berbaring di atas tilam yang penuh dengan kutu dan najisnya sendiri.
Waktu itu, dia sudah berusia 50 tahun dan hilang kewarasan. Kesalahannya
sampai dilayan sebegitu rupa? Blanche mencintai seseorang yang rendah
darjatnya berbanding keluarga Monnier – Atau mungkin juga kerana
kedegilan sendiri, bergantung pada pandangan sesiapa yang membaca
kisahnya ini.
Ditemui dan diselamatkan oleh polis Perancis pada 23 Mei 1901 di sebuah
kawasan elit di bandar Poitiers berdasarkan maklumat daripada pengirim
misteri, kemudian Blanche dikejarkan ke hospital. Pada mulanya ramai
tidak yakin yang dia akan selamat, tetapi Blanche sembuh juga dari segi
fizikalnya. Walau bagaimanapun, ketidakwarasannya berkekalan hingga ke
akhir hayat. Seluruh dunia gempar dengan kes ini yang diberi jolokan
“The Sequestered of Poitiers”, terutamanya bagaimana wanita malang itu
dikurung dan dikunci dari dunia luar oleh ahli-ahli keluarganya sendiri,
hanya kerana keengganannya melupakan hubungan cintanya dengan seorang
peguam biasa dan agak berumur.
Sedikit sejarah mengenai keluarga Monnier; mereka adalah keluarga atasan
yang amat dihormati dan berasal dari keturunan aristokrat bernama
Poitiers (bandar itu dinamakan sempena nama keluarga mereka). Mendiang
ayah Blanche, Emile adalah bekas ketua fakulti kesenian tempatan sebelum
meninggal dunia pada 1879. Keluarga tersebut pernah mendapat anugerah
atas jasa mereka dalam melakukan kerja-kerja kebajikan dan sebagai
penghargaan ke atas nilai murni keluarga Monnier untuk dicontohi oleh
penduduk Poitiers.
Blanche, ketika mudanya adalah seorang gadis berambut hitam yang cantik,
dan diminati ramai lelaki di bandar itu. Namun, dia jatuh cinta dengan
lelaki biasa yang kurang menyerlah dalam kerjaya guamannya. Ini
menyebabkan keluarga Blanche yang kaya raya dan tersohor itu merasa
terhina dan amat marah. Bimbang akan perhubungan itu berakhir dengan
perkahwinan dan seterusnya akan menjatuhkan reputasi keluarga Monnier,
mereka bertindak dengan mengurung Blanche. Ia dilakukan oleh si abang,
Marcel Monnier, seorang pegawai kerajaan, dan perancang utamanya adalah
ibu mereka, Louise Monnier Demarconnay dengan harapan yang gadis itu
akan mengalah.Tetapi, dia tetap berkeras untuk meneruskan hubungan
cintanya itu. Pada waktu itu Blanche berusia 25 tahun.
Marcel, ketika disoal siasat oleh polis menyatakan bahawa adiknya itu
mengalami sakit jiwa dan Blanche juga lebih suka menyisihkan diri dari
orang ramai. Namun begitu, berdasarkan pada testimoni mahkamah,
beberapa saksi memberitahu mereka pernah mendengar wanita itu menjerit
dan merayu untuk dilepaskan. Semasa kes tersebut masih dalam siasatan,
ibu Blanche meninggal dunia akibat sakit jantung. Menurut doktor yang
bertugas, sebelum menghembuskan nafas terakhir dia menangis sambil
berkata,”Anakku Blanche yang kasihan.”
Pada Oktober 1901, Marcel Monnier dihadapkan ke mahkamah berseorangan,
atas tuduhan bersubahat dengan ibunya. Empat hari kemudian, lelaki itu
didapati bersalah dan dijatuhkan penjara 15 bulan. Walau bagaimanapun,
Marcel membuat rayuan dan pada 20 November 1901, dia dilepaskan dan
dibebaskan kerana mahkamah berpendapat tiada keganasan yang berlaku dan
tiada kecederaan langsung ditemui pada adiknya.
Si Peguam meninggal dunia 16 tahun sebelum Blanche diselamatkan.
Blanche Monnier bertambah sihat tetapi akibat trauma bertahun-tahun
dikurung, dia ditempatkan di Hospital Psikiatri Blois. Di situ jugalah
Blanche meninggal dunia pada 1913, iaitu 12 tahun selepas dia
diselamatkan.
0 comments:
Post a Comment