Peniaga Dedah Punca Kenapa Harga Ikan Mahal


KUANTAN: Keadaan laut bergelora menyukarkan nelayan meraih hasil laut yang lumayan ditambah dengan keadaan bulan mengambang yang menyebabkan ikan ‘bersembunyi’ antara faktor yang menyebabkan harga ikan naik.

Peniaga, Sheikh Hamizi Syeikh Hamid, 32, berkata, perniagaan selepas musim banjir agak perlahan kerana ikan yang dijual biasanya yang diimport dari kawasan lain dan  yang sudah dibekukan.

Menurutnya, peniaga tiada pilihan selain menaikkan harga ikan RM1 hingga RM3 yang berbeza daripada harga sebelum ini.

“Ini merupakan kebiasaan bagi kami di pasar ini setiap kali musim tengkujuh. Jika kami jual dengan harga yang sama seperti ini, bukan saya jika meraih keuntungan, malah ia juga tidak pulang modal.

“Bukan sahaja pengguna yang terpaksa berdepan dengan masalah harga naik, kami sebagai peniaga juga terpaksa membeli dengan harga yang lebih daripada peraih.

“Namun saya yakin, selepas musim tengkujuh berakhir, keadaan akan kembali normal. Kebiasaannya, selepas sambutan Tahun Baharu Cina pada Februari nanti, harga ikan akan kembali kepada harga asal,” katanya.

Sekilo ikan kerisi berharga RM13 sekilogram berbanding RM10 sebelum ini. Begitu juga dengan harga ikan kembung daripada RM12 menjadi RM14 sekilogram.

Peniaga sayur, Lee Kim Hoi, 48 berkata, harga sayur juga meningkat mendadak menjadi RM8 sekilogram berbanding RM6 sebelum ini.

Dia juga tidak mengetahui punca sebenar harga sayur naik kerana terpaksa membeli dengan harga tinggi daripada pemborong untuk dijual di pasar.

“Kami (peniaga) merupakan orang tengah antara pemborong dan pengguna, jika harga yang dijual kepada kami tinggi, harga untuk pengguna juga terpaksa dinaikkan kerana kami tidak sanggup menanggung kerugian.

“Walaupun mahal, kami terpaksa jual dan pengguna terpaksa beli. Oleh itu, saya harap keadaan ini pulih seperti sedia kala kerana pelanggan tetap kami akan beralih arah,” katanya.

Bagi peniaga ayam, Norizan Salleh, 53, harga ayam di pasar masih kekal RM7 sekilogram dan peniaga ayam tidak mengalami masalah kenaikan harga tinggi kerana mematuhi syarat harga siling yang ditetapkan.

“Masalah kami sekarang ini adalah kekurangan pelanggan sahaja. Selepas musim banjir, ramai pelanggan tidak datang membeli di sini.

“Ini adalah keadaan biasa selepas musim tengkujuh. Mungkin keadaan akan kembali normal pada pertengahan Februari nanti,” katanya yang sudah 22 tahun berniaga menjual ayam di Pasar Besar Kuantan di sini.

Sementara itu, seorang pengguna, Jamilah Abdullah, 58, berkata, dia juga tidak mempunyai pilihan lain untuk membeli barang basah kerana harga semuanya sama sahaja.

“Saya memang biasa membeli di pasar besar ini, memang terkejut dengan harga tinggi, tetapi jika membeli di tempat lain juga, harganya masih sama.

“Walaupun merupakan pelanggan tetap, saya tetap membayar harga lebih yang tidak sama seperti sebelum ini.

“Oleh itu, saya harap keadaan akan kembali seperti sediakala kerana bila terpaksa membayar harga tinggi, ia merupakan sedikit bebanan kepada kami sebagai pengguna,” katanya

SHARE ON:

Hello guys, I'm Tien Tran, a freelance web designer and Wordpress nerd. Sed ut perspiciatis unde omnis iste natus error sit voluptatem accusantium doloremque laudantium, totam rem aperiam, eaque ipsa quae.

    Blogger Comment

0 comments:

Post a Comment